Tuesday 29 October 2013

ALLAH sedang menguji kita.....




'Tuhan sedang menduga kita' buku hasil nukilan Ustaz Kazim Elias itu kubaca dengan penuh kusyuk setiap kali sebelum tidur. Itulah masa terluang yang sesuai untuk membaca. Bukan apa sekadar merehat minda sambil menambah ilmu. Isi kandungan buku ini  tidak begitu berat dengan bahasa yang mudah. Jadi, mudahlah difahami. Itu yang seronok untuk terus membaca.

Memang benar apa yang ditulis dalam buku ini. Segala yang berlaku adalah ujian daripada Allah. Jadi kita kena terima dengan redha. Mungkin ada hikmah disebalik segala kejadian. Mungkin Allah sayang pada kita sebab tu Dia menguji kita. Mungkin Allah nak mengampunkan dosa-dosa kita yang lalu. Atau..mungkin Allah nak menaikkan darjat kita disisiNya. Hanya  Allah saja yang tau apa sebabnya....Oleh itu, kita jangan cepat mengeluh dan berputus asa dengan apa yang berlaku. Jangan pula menyalahkan nasib...kita hendaklah berfikir secara positif. Barulah kita dapat menghadapinya dengan tenang dan sabar...

Apa yang berlaku dalam hidupku semuanya tidak kuduga. Ye lah...siapa kita yang boleh menduga segala yang akan berlaku. Allah maha berkuasa. Aku hanyalah insan lemah yang menumpang di bumi ini. Bermula daripada suamiku ditimpa penyakit angin ahmar pada tahun 2000, anak bongsuku disahkan mengidap penyakit jantung berlubang dan injap sempit tahun 2005 dan terkini anak keduaku pula mendapat jangkitan kuman pada otaknya. Ya Allah, aku terima segala dugaan dan ujianmu dengan redha dan hati yang tabah...

Alhamdulillah semua yang berlaku ada hikmahnya. Kejadian yang berlaku menguatkan semangatku untuk terus menghadapi hidup ini demi suami dan anak-anakku. Sejak itu aku berani untuk belajar memandu dan alhamdulillah, Walaupun suamiku tidak bekerja tetapi dia dapat menjaga anak-anak yang masih bersekolah. Tak perlu risau tentang pembantu rumah....Ada juga hikmahnya kan..... Anak bongsuku juga telah selamat menjalani pembedahan di IJN pada tahun 2010. Begitu juga anak keduaku telah menjalani pembedahan membuang kuman di otaknya pada 16 julai 2013 yang lalu. Kini, selepas tiga bulan berada di hospital, dia dapat meneruskan persekolahannya untuk mengambil peperiksaan SPM tidak lama lagi. Mak doakan semoga Amir dapat menghadapi SPM dengan tenang dan berjaya meneruskan pelajaran dalam bidang yang diminati. Kuatkan semangat kerana Allah sedang menguji kita...Amin...

Monday 14 January 2013

LANGKAWI (13-15 Nov 2012)

Sempat gak mandi laut di Pantai Cenang
 Tiada dalam perancangan, tiba-tiba tergerak hati untuk mengikuti rombongan sekolah ke Langkawi. Apabila dapat tau ada banyak tempat kosong lagi, akupun terus bersetuju untuk membawa familiku (7 orang semuanya). Kalau nak pergi sendiri memang tak sampai kut.....Percutian ini tidak sia-sia. Memang menyeronokkan.....disamping dapat bertemu my best freind,Nooraini Abu Bakar yang menetap di sana..
Comel Iffah...



Gayat jugak naik kereta kabel ni...
Kat Top Station pun ada peti surat....



sampai jugak ke puncak...


Air Perigi Mahsuri

menyusuri sungai ke Kilim Geoforest Park


Baru keluar dari gua tengok kelawar

Bestnya....persekitaran yg menenangkan


Di  Galeri Perdana

Wednesday 10 October 2012

SABAH bah.....(Lawatan bersama PPKI SK Alai)

Akhirnya, sampai juga aku ke Sabah, bumi di bawah bayu bersama anakku Iffah dan guru2 serta murid2
PPKI SK Alai melalui Program 'Kembara Borneo' mulai 3-5 Oktober 2012.Itu namanya menumpang tuah anak! Kalau tak ...tak sampai lagi! Ini juga pengalaman  pertama naik kapalterbang. Dah terpaksa temankan anak....Tapi lawatan ni memang satu pengalaman yang menyeronokkan. Walaupun penat tapi dapat lihat tempat orang yang lain daripada tempat sendiri...itu yang 
bestnya.


Dah sampai di bumi Sabah
Di Rumah Terbalik


Di Kinabalu Park

Ladang Teh Sabah
angin kuat...dingin sekali...

Terapi Ikan
Pemandangan yg cantik dan memberi ketenangan
Jambatan gantung ...
Iffah dah penat...







Tuesday 4 September 2012

KATA-KATA MOTIVASI UNTUK RENUNGAN BERSAMA….


Semoga ia dapat memotivasikan diri kita menjadi lebih baik.
Semoga ‘HARI INI LEBIH BAIK DARI SEMALAM’…

Minda yang mahu akan memudahkan perjalanan yang susah.
- Philip Massinger

Perjalanan seribu batu bermula dari satu langkah.
- Lao Tze

Kegagalan adalah asas kemenangan
- Lao Tze

Jika tujuan anda jelas, anda boleh mencapainya dengan mudah.
- Lao Tze
Jika anda tahu arah tujuan anda, sesungguhnya anda telah separuh jalan ke sana. – Dr. HM Tuah
The important thing in life is not what happened to you in the past, but what is going to happen to you in the future. – Dr. HM Tuah
Untuk mendapat yang terbaik, pastikan anda telah memberi yang terbaik. –Dr. HM Tuah
Guru boleh ditemui di sekolah dan di rumah, tetapi guru yang terbaik  ialah pengalaman-pengalaman kita sendiri.- Dr. HM Tuah
Kurang semangat mengakibatkan lebih banyak kegagalan berbanding kurangnya kebijaksanaan atau kemahiran.
- Flower A. Newhouse

Masa depan itu dibeli oleh masa sekarang.
- Samuel Johnson

Orang yang berjaya dalam hidup adalah orang yang nampak tujuannya dengan jelas dan menjurus kepadanya tanpa menyimpang.
- Cecil B. DeMille 

Jika anda mahu membuat sesuatu, anda akan cari jalan. Jika anda tidak mahu membuat sesuatu, anda akan cari alasan.
- Peribahasa Arab

Kejayaan tidak datang kepada manusia yang leka.
- Charles Cahier

Semua yang dicapai oleh manusia dan yang gagal dicapai olehnya adalah kesan langsung pemikirannya.
- James Allen 
Menyimpang seinci, rugi seribu batu.
- Peribahasa Cina

Rahsia kejayaan adalah ketekalan matlamat.
- Benjamin Disraeli

Perbaiki diri anda, tetapi jangan jatuhkan orang lain.
- I. Salanter Lipkin

Pengiktirafan dan ganjaran datang kepada mereka yang menunjukkan kualiti yang baik dalam perbuatannya.
- Aristotle
Anda tidak boleh mencipta pengalaman. Anda mesti menghadapinya.
- Albert Camus

Nilai manusia adalah semahal nilai matlamatnya.
- Marcus Aurelius

Manusia yang tidak berharap untuk menang telah sedia kalah.
- Jose Joaquin Olmedo

Tiada manusia yang berjaya dalam semua yang dilakukannya dan kewujudan kita ini sebenarnya mesti menempuh kegagalan. Yang penting ialah kita tidak menjadi lemah semasa kegagalan itu terjadi dan kekalkan usaha hingga ke akhir hayat.
- Joseph Conrad

Manusia tidak merancang untuk gagal, mereka gagal untuk merancang.
- William J. Siegel

Wednesday 29 August 2012

Penangan buku 'Nak ke Tak Nak'

'Nak ke Tak Nak' , buku motivasi karya Dr. HM Tuah Al Haj yang berjaya menaikkan semangat dan motivasiku pada tahun 2008. Apa yang berlaku pada tahun tu??? Haa...ni nak kongsi cerita sikit. Sekitar bulan Julai kalau tak silap, aku dapat surat kena pergi kursus PTK di Johor Bahru selama seminggu... Berderau darah apabila baca surat tu. Apa taknya, bukan sekadar bawak badan pergi kursus je tapi kena siapkan assignment bertaip dan tugasan dalam bentuk power point . Alamakkk!!!Camne ni??Laptop tak ada dan nak buat power point pun tak tau. Internet pun tak tau nak buka. Nampak benar aku ni tak ikuti perkembangan teknologi...Malam tu memamng tak lelap mata memikirkannya!!

Alhamdulillah, orang disekelilingku banyak membantu dan aku berdoa kepada Allah semoga dipermudahkan urusanku. Aku pun mula belajar menggunakan internet untuk cari bahan. Dalam masa yang sama, tugas sebagai guru perlu diteruskan. Masa tu pulak persiapan untuk persaraan Pengetua sedang rancak dijalankan.Wow! bukan buat kerja 2 in 1 tapi macam 5 in 1 termasuk kerja2 di rumah. Macam nak nangis pun ada. Tapi masa tu teringat cerita-cerita motivasi dari buku tadi. Antaranya kita mesti ada hasrat dan matlamat untuk mencapai sesuatu. Aku selalu sebut dengan suami dan anak-anak, "mak nak dapat result 4-4 dalam kursus PTK ni, lepas ni tak nak ulang lagi." Sebabnya, dahlah kena tinggalkan keluarga selama seminggu dengan anak bungsuku yang berpenyakit jantung baru berusia 3 tahun masa tu. Suami pulak bukan sihat benar. Oh!! dugaan...dugaan...

Mungkin Allah mendengar doa hambanya ini...kebetulan ada kursus LDAP tentang penggunaan power point dalam P & P. Maklumat dan contoh assignment daripada pihak jabatan, contoh tajuk2 public speaking daripada kawan2 yang dah pergi kursus dan sebagainya aku perolehi. Suami pun suruh beli laptop, dia jadi tukang edit aku punya assignment. Yang lucunya anak2 tak kacau mak dia buat assignment sebab tak nak mak dia kena ulang kursus. Nanti kena tinggal Lagi...

Akhirnya, masa kursus berjalan lancar. Aku dapat tajuk public speaking yang kuidamkan. Masa peperiksaan pun ok..segala maklumat dan contoh yang aku telah rancang di minda ku berjaya dikeluarkan sebagai jawapan. Perghhh!! punyalah lenguh tangan menjawab soalan tu selama 3 jam. Nak tau resultnya macam mana??? Yes!! Aku berjaya mendapat keputusan 4-4 seperti yang kuhajati....Syukur Alhamdulillah...

Satu lagi buku karya Dr. HM Tuah yang sudah dibaca ialah 'Biar Betul betul' dan sekarang sedang baca buku bertajuk 'Nak Jadi Jadi'. Buku motivasinya memang santai....sesekali ada kelapangan aku tak lepaskan peluang membacanya...diharapkan motivasi bekerja dan menjalani kehidupan ini tidak menurun...

Puding Roti Karemal yang enak dan mudah dibuat.

Puding Roti Karemal...tiba2 menjadi kesukaan keluargaku. Malah pada hari raya ini apabila dihidangkan kepada tetamu, semua bertanya bagaiman nak membuatnya. Senang aje...rujuk resepi di bawah. Terima kasih kepada pemilik asal resepi ini
                                                          



RESEPI PUDING ROTI KARAMEL 
resepi asal : rosaliza@embunkasih

Bahan-bahan
  • 3 sudu besar gula untuk dijadikan gula hangus
  • 4 keping roti gardenia
  • 3 biji telur A @ 4 biji gred B - di pukul manja dan di tapis
  • 2 cawan air suam @ (1cwn susu cair+1cwn air suam)
  • 1/2 cawan susu pekat - resepi asal 1 cawan
  • esen vanilla (1sk)
Cara-cara
1.    Cara membuat gula hangus , masukkan gula ke dalam kuali, masak hingga gula jd perang (guna api kecil takut hangit). Kemudian masukkan 1 sudu besar air, (berhati2 gula panas). kacau hingga sebati dan matikan api. Tuang terus dalam loyang. Ketepikan.
2.    Panaskan pengukus.Carik2kan roti kemudian blender bersama air suam dan susu.
3.    Selepas itu masukkan telur yang sudah ditapis itu dan masukkan esen vanilla. Blend sekejap agar sebati. Tuang adunan tadi kedalam loyang gula hangus dan kukus sehingga masak.(40min-1jam) -  kukus 30min je